DEKAT PADAMU

Baru-baru ini diberikan rezeki untuk bermusafir ke tiga negeri,alhamdulillah. Sememangnya bermusafir menghilangkan sedikit sebanyak  tekanan kerja, ditambah lagi bermusafir dengan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak bertemu. Semoga kita ditemukan lagi dan lagi. Semoga ukhuwwah kita berterusan biarpun nyawa ini sudah tidak dikandung badan.

Melewati tempat-tempat menarik mengingatkan kita kepada kebesaranNya. Sungguh, Allah itu Maha Indah dan suka kepada keindahan. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan alam ini dengan penuh keindahan, serta meminjamkan manusia dengan kebijaksanaan untuk menghasilkan bangunan-bangunan dengan seni bina yang indah. Sesekali menghayati keindahan alam, menambahkan kekaguman kita pada keagunganNya, Allahuakbar. Tidak Dia menjadikan sesuatu dengan sia-sia di atas muka bumi ini. Memandang alam ini sahaja membuat kita sedar bahawa Dia sentiasa ada di mana-mana kita berada.

Satu perkara paling aku sukai tatkala mengembara adalah menaiki kapal terbang. Aku suka melihat awan dan berada di atas membuat aku berasa sangat dekat kepadaNya. Ada satu perasaan yang sangat tenang bercampur sayu setip kali aku memandang langit, apalagi berada di antara awan-awanan. Sesungguhnya Dialah yang menahan awanan tanpa sebarang tiang, mashaAllah. Sememangnya Dia dekat, biarpun di mana kita berada. Usah sesekali kita merasa Dia jauh dari kita, mungkin kita yang menjauh dariNya...Ayuh mendekat denganNya, kerana Dialah arah tuju kita. Dan sesungguhnya dunia ini hanyalah perjalanan menuju kepadaNya.....


Ungkapan hati, coretan jiwa..

Aku merasa lelah dua tiga hari kebelakangan ini. Makan tidak terjaga,tidur juga tidak cukup. Apa tidaknya, masih terlalu banyak kerja yang perlu kuselesaikan. Lewat kunjungan konsultan tadika beberapa hari lalu,terlalu banyak yang perlu dirombak. Bermula dengan hiasan kelas,alat bantu mengajar, dan tidak ketinggalan segala fail-fail rekod bacaan dan kehadiran  pelajar. Sebelum aku bergelar guru tadika,aku tidak pernah menyangka profesion guru tadika sebegini sukar. Aku bukan sekadar harus mendidik, tetapi harus kreatif untuk menimbulkan suasana pembelajaran yang menarik buat anak-anak kecil ini. Audit yang bakal menjelang kurang dari seminggu sangat membimbangkan. Masih ada ruang kelas yang belum terhias,masih ada fail belum dilengkapkan. Aku bimbang bagaimana respon pengaudit kelak bila melihat ada tugas yang terlunaskan seperti yang sepatutnya.

Namun,sejenak hal ini membuatkan aku terfikirkan sesuatu...Audit? Sebenarnya bukan hanya di tempat kerja kita akan menghadapi audit, bahkan kita sentiasa menghadapi audit. Perkara yang semua orang Islam percaya dan sepatutnya tahu. Segala perbuatan, segala perkataan, dan segala amalan kita diperhatikan. Segala perbuatan yang kita lakukan,adakah betul atau salah? Segala perkataan kita, adakah yang baik dan benar ataupun sebaliknya? Dan bagaimana pula dengan amalan kita,adakah ikhlas ataupun riak semata-mata? Jawapannya hanya kita dan Allah sahaja yang tahu..

Justeru,apapun pekerjaan yang kita lakukan sekarang,lunaskanlah amanah itu dengan sebaiknya. Sesungguhnya Dia yang meletakkan kita di situ,amanah anugerahNya yang harus kau pikul. Buatlah sebaiknya,meskipun sukar. Setidaknya usaha kau dikira olehNya, bukan hasilnya. Usah memberi lebih banyak alasan daripada usaha dalam melunaskan amanah. Kerana amanah itu adalah perkara yang paling berat untuk dijawab di padang Mahsyar kelak. Begitu juga dengan perkataan kita,usah sesekali berkata perkara yang tidak benar. Apatah lagi  memfitnah dan memburukkan orang lain. Kerana buruknya perkataanmu,cuma memburukkan orang lain di dunia..akan tetapi memburukkan kamu dihadapanNya...nauzubillahiminzalik. Segala perbuatan yang dilakukan,buatlah kerana Allah dan hanya untuk Allah. Kerana DARINYA KITA DATANG,DAN KEPADANYA KITA DIKEMBALIKAN. Dan hidup didunia ini, hanyalah perjalanan menuju Tuhan...
Image result for islamic quotes

Smile, you


Aku memandang langkahnya yang longlai. Wajahnya penuh dengan kesedihan, meskipun sedaya upayanya diselindung. Aku tahu betapa dia menahan empangan air matanya daripada pecah. Aku tahu betapa dia cuba menguatkan langkah kakinya. Aku bukan tidak tahu dukanya, pun juga bukan aku tidak mahu membantunya. Namun, tiada yang mampu aku lakukan melainkan sekadar pendengar setianya serta mendoakan yang terbaik buat dia. "Maafkan aku,sahabat.." hanya itu yang mampu kuulang di dalam hatiku berkali-kali. Kadangkala saat dia meluahkan dukanya padaku, tiada yang mampu kukatakan. Serasaku segala kata-kata semangat yang aku mampu beri, telah ku ucapkan sehinggakan aku kehilangan kata-kata.

Sungguh, aku juga pernah merasa kecewa. Aku juga pernah merasa duka. Meskipun situasi kita hadapi berbeza, aku tahu definisinya kecewa itu, juga kufahami sekali maknanya duka itu. Kadangkala meskipun kita tahu kecewa dan duka itu ujian, namun kita seakan terlupa itu tanda kasihNya hingga kita menangis mempersoalkan takdir kita. Meskipun kita tahu, begitu banyak ayat-ayat cintaNya, tapi kita seakan terlupa bahawa Dia berfirman: "Takkan Aku membebankan seseorang melainkan dengan kemampuannya" (2:286).
Aku yakin kau mampu, sahabat..kerana itu Dia memberikan ujian itu kepadamu dan bukan kepadaku ataupun orang lain. Aku yakin kau juga ingat firmannya: "Barangkali kau membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu dan barangkali kau menyukai sesuatu, padahal ia buruk bagimu" (2:216). Siapa tahu, satu hari nanti kau akan mengenang musibah ini dan tersenyum lalu mengatakan, "Alhamdulillah, aku pernah lalui itu dan menjadikan aku begini hari ini". Kerana kebanyakan kita berkembang melalui masalah yang kita hadapi, dan bukannya dengan kesenangan.

Sahabatku, teruslah tersenyum walaupun saat ini hatimu terluka. Teruslah gagahkan kakimu, meskipun saat ini kau dilanda kecewa. Aku mungkin tidak mampu membantumu, tetapi Allah pasti membantumu dan bersamamu sentiasa. Saat kau merasakan hatimu tidak lagi bertahan, menangislah kepadaNya..Saat langkah kakimu mulai terasa lemah, bersujudlah kepadaNya.. Saat tiada lagi kata yang mampu kau ucapkan, berdoalah kepadaNya.. Dia pasti ada jalan keluar untukmu. PASTI.

 

Air mata Perpisahan...


Menelusuri hari demi hari
Bersamamu
Tanpa ku sedari
Kian menghampiri waktu itu

Bahagianya aku bersamamu
Terisinya hidupku denganmu
Namun pantasnya berlalu
Waktu meninggalkanku

Inginku menahan pergimu
Inginku merayumu membawaku
Membawa pergi bersamamu
Pergimu memanggil piluku

Mungkinkah kita kan bertemu?
Bertemu lagi dalam hidupku
Mungkinkah ini terakhir kaliku?
 Tiada lagi kau kutemu

Aku tak ingin perpisahan ini
Kau pasti kurindukan
Kuharap bermakna pertemuan ini
Duhai Ramadhan... :'(








Setiakah dikau...?



                Kesetiaan seringkali dikaitkan dengan perhubungan cinta dan persahabatan. Memang tidak dinafikan, kesetiaan merupakan elemen penting dalam kedua-dua perhubungan ini. Tanpa kesetiaan percintaan dan persahabatan tidak akan ke mana. Tetapi pastikah semua dari kita benar-benar tahu apa itu makna kesetiaan? Barangkali kita boleh mempelajari makna kesetiaan daripada kisah seekor anjing. 

Suatu ketika dulu, seekor anjing meredah dingin pagi mengekori langkah tuannya menuju ke stesen keretapi. Hari itu tuannya bertolak ke luar kota atas urusan penting. Sebelum melangkah naik ke dalam perut kereta api, tuannnya sempat membelai-belainya sambil anjing tersebut menjilat-jilat tangan tuannya. Keesokannya, anjing tersebut meredah kedinginan pagi sekali lagi menuju ke stesen kereta api untuk menyambut kepulangan tuannya. Setibanya kereta api, anjing tersebut mencari-cari wajah tuannya dicelah-celah penumpang yang ramai. Beberapa lama mencari, wajah yang dicari tidak ditemuinya. Anjing tersebut pulang kehampaan. Esoknya, anjing tersebut sekali lagi meredah dinginnya pagi menuju ke stesen kereta api bagi menyambut tuannya. Bagaimanapun, sekali lagi anjing tersebut hampa. Begitulah juga hari-hari berikutnya sehingga anjing tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir di stesen kereta api tersebut, namun tuannya tetap tidak kunjung tiba. Sebenarnya tuannya telah menghembuskan nafas terakhir di luar kota akibat serangan jantung dan dikebumikan di situ...

Setianya seekor anjing kepada tuannya, kerana dia tahu dia lebih beruntung diambil tuannya. Diberikannya tempat tinggal dan makanan setiap hari. Setianya seekor anjing, tetap bersungguh berkhidmat kepada tuannya menjaga rumah daripada bahaya meskipun anjing itu cuma diberi makan dua kali sehari dan tinggal di luar rumah yang kadangkala panas dan kadangkala kedinginan. Namun, malangnya kita manusia yang Allah berikan tempat tinggal yang melindungi kita dari hujan dan panas serta makanan yang begitu banyak tidak sesetia itu kepada Tuhan kita. Amanah yang diberikanNya kepada kita, tidak pula dilakukan dengan baik tetapi amanah manusia lebih dipentingkan. Banyak sekali dari kita yang datang ke pejabat pada awal waktu, tetapi sedikit sekali dari kita solat pada awal waktu. Berapa banyak ibu bapa yang melakukan tugas kerjaya dengan bersungguh-sungguh, tetapi sedikit sekali yang menjaga tanggungjawab sebagai ibu bapa yang dikurniakanNya.

Begitu juga dengan remaja masakini, ramai sekali yang setia kepada kekasih tidak halalnya sehingga sanggup berkorban segala-gala, namun sedikit sekali yang berkorban nafsu remajanya demi Kekasih Abadi. Berapa ramai yang menjadi hamba fesyen, malangnya sedikit sekali yang menyahut suruhanNya menutup aurat. Berapa ramai yang membuang masa ke sana sini bersama kekasih tidak halalnya, tetapi sedikit sekali yang mengisi masa dengan mencari ilmuNya. Nauzubillah… Ayuhlah kita semua menjadi hamba yang setia kepada Sang Pemiliknya. Kerana kita ini miliknya. DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali… Dan bahawasanya dunia fana ini cumalah sementara…..
"Aku belajar tentang taqwa melalui kesetiaan seekor anjing terhadap tuannya"(Saidina Ali)

 

K.O.S.O.N.G



Jemari di tangan seakan membatu
Tiada yang terlukis
Tiada yang tertulis
Tarian jemari seakan kaku

Jemari itu…
Dulu tariannya ligat
Dulu  tariannya laju
Namun kini  seakan tersekat…

Mungkinkah jemari itu yang layu?
Ataukah hati yang kosong?
Ataukah minda yang menerawang berbatu?
Ataukah masa yang tak terluang?

Segarkanlah tarianmu jemari
Isikanlah kekosonganmu hati
Kembalilah wahai minda
Pulangkan semua yang dulu ada…



Kita, Dia & Dinding




Hani memandang sahabatnya yang berada di sisinya. Dia sedang asyik memandang skrin komputer ribanya dengan wajah yang sedikit berkerut, seolah-olah memikirkan sesuatu. 

Hani: Kenapa buat muka macam tu?

Rina: Apa pandangan Hani bila lihat kawan-kawan yang gemar post doa dalam facebook?

Hani: Hani rasa itu satu cara yang baik untuk ajak kawan-kawan lain mengamalkan doa. Lebih-lebih lagi doa  amalan Rasulullah S.A.W..

Rina: Ya, memang sangat baik kalau berkongsi doa-doa lebih-lebih lagi doa amalan nabi kita. Tapi, apa yang Rina lihat sejak akhir-akhir ini ramai yang post status seolah BERDOA KEPADA DINDING (wall).

Hani: Maksud Rina?

Rina: Ramai kawan-kawan yang Rina lihat, contohnya bila dalam kesedihan akan post status berbunyi seperti - ‘Ya Allah, tabahkan hatiku’. Kalau kita minta pada Allah, wajarkah kita paparkannya untuk tatapan umum dalam wall facebook

Hani: Mungkin mereka ingin doa mereka diaminkan kawan-kawan?

Rina: Jika begitu niatnya, memang tidak salah. Tapi, bukankah lebih baik kalau kita minta terus pada Allah? Tak perlu post dalam facebook. Apa yang Rina takutkan, manusia LUPA MEMINTA KEPADA ALLAH. Setiap kali ditimpa ujian, TAKUT-TAKUT DINDING(WALL) ITULAH TEMPAT PERTAMA CURAHAN HATI MANUSIA. 

Hani: Betul juga tu, Rina. Hani tak pernah terfikir hal sebegitu. Bahkan, takut-takut doa itu menjadi amalan riak untuk tatapan manusia semata. Na’uzubillah.

Rina: Semoga kita semua dijauhkan.

“Hanya kepadaMu kami menyembah, dan hanya kepadaMu  tempat kami meminta pertolongan”  (AlFatihah: 5)

p/s: Doa itu hanya kepadaNya. Jika doa kita post dalam facebook, doa itu minta pada siapa? Allah, manusia, ataupun dinding (wall)? Jom koreksi diri :)