CoReTaN InSaN TeRLuKa




“Luka di tangan nampak berdarah, luka di hati tiada siapa yang tahu…”

Pastinya semua orang pernah merasa terluka kerana perbuatan atau sikap insan yang kita sayangi. Kerana hanya kata-kata dan perbuatan orang yang istimewa di hati kita yang akan berbekas di hati. Luka di hati kadangkala memakan masa yang terlalu lama untuk sembuh.  Sakitnya terasa amat pedih, sehinggakan kadangkala kita menitiskan air mata berkali-kali mengenangkan perkara yang melukai hati kita itu. Namun, kadangkala luka di hati yang masih terasa itu bukanlah disebabkan kita masih memendam kebencian kepada si penoreh luka, akan tetapi mungkin tanpa kita sedari sebenarnya luka itu masih terasa kepedihannya dek kerana hati kita tidak mampu memaafkan diri kita sendiri. Ya, kita tidak mampu memaafkan diri kita sendiri kerana membenarkan diri kita dilukai. 

Kitalah yang membenarkan diri kita bersedih kerana perbuatan orang lain. Kitalah yang membenarkan hati kita mempercayai orang yang salah. Kitalah yang menyimpan harapan tinggi kepada orang yang tidak sepatutnya. Kitalah yang memilih untuk membenarkan insan itu mendapat tempat di hati kita untuk pada akhirnya meninggalkan parut di hati kita. Sama ada sedar atau tidak, sama ada kita ingin menerima atau tidak, hakikatnya kitalah salah satu penyumbang besar luka di hati kita sendiri.  Namun, kita juga seharusnya tahu bahawa luka itu juga ada manfaatnya untuk kita, kerana sesungguhnya setiap yang berlaku itu ada hikmahnya. 

Setiap yang Allah ciptakan bukanlah suatu yang sia-sia, begitu juga dengan perasaan terluka. Melalui rasa terluka inilah kita menyedari bahawa kita ini hamba Allah yang kerdil, tiada siapa yang sempurna. Kerana rasa inilah kita akan ingat bahawa bukan manusia tempat pergantungan kasih kita, akan tetapi kepadaNya. Dan selalunya kerana rasa inilah yang memanggil kita kembali kepadaNya setelah lama terlalai dengan kebahagiaan yang fana. Usah sesekali kita menyesali apa yang telah terjadi, tetapi ambillah pengajaran daripadanya agar ianya tidak akan berulang lagi. Kerana rasa ini juga anugerah dariNya, titip kasih sayang dariNya. Dia ingin memanggilmu kembali ke sisiNya, kerana kau telah menjauh dariNya. Biarpun hadiah itu berbalut luka, namun isinya ada cinta yang indah. 

“Kemaafan mungkin terasa berat untuk diberikan kepada orang yang pernah melukai hati kita, tetapi hanya dengan kemaafan sahajalah yang dapat mengubati hati kita yang terluka. Kemaafan seolah pisau bedah yang memotong parut luka emosi di hati kita”

Ayuhlah kita belajar memaafkan, tidak hanya kepada orang lain tetapi juga diri kita sendiri. Maafkanlah diri atas kesilapan yang telah kita lakukan, kerana melaluinya  kita belajar mana yang tidak patut kita lakukan. Dengannya kita mulai belajar mengenal yang mana kaca dan yang mana permata. Oleh itu, andai pedih luka itu mendatang  dan air matamu menitis lagi, letakkanlah tanganmu ke dada dan ucapkanlah :”Wahai hati, maafkan aku kerana melukaimu”. Lalu ukirlah senyumanmu dan pandanglah ke atas, ucapkanlah:”Terima kasih ya Allah kerana menghadiahkan rasa ini kepadaku” :’)


Sebuah Ikatan




Aku melangkah longlai menuju ke bilikku. Penat rasanya, bukan kerana penat menyerap ilmu tetapi letih menunggu bas sejak dua jam tadi. Tiba di bilik, aku memandang sekeliling. Terasa kosong.  Ada rasa sebak menyerbu di dadaku. Terasa empangan air mataku ingin pecah lagi. Sudah dua bulan  kekosongan ini di sini. Masih aku terlihat senyumannya, tawanya, dan tutur lembutnya. Aku merebahkan diri ke katilku. Sehari-hariku diisi bersamanya. Setiap perkara kami lakukan bersama, lebih-lebih lagi kami berada dalam jurusan dan fakulti yang sama di universiti ini serta duduk di bilik yang sama. Namun, sejak peristiwa itu tiada lagi dia disisiku. Begitu perit untuk kuterima. Sungguh peristiwa itu masih segar diingatanku…
*             *             *             *             *

“Aku sampai dalam jam 3 petang nanti rasanya…tak sabar nak jumpa lagi ,”mesej darinya membuat aku tersenyum. Aku pun merinduinya. Cuti selama 2 minggu sempena Hari Raya memisahkan kami untuk sementara. “Aku sampai setengah jam lagi…aku tunggu kau di sana nanti,”balasku. Tidak sabar rasanya untuk bertemu semula. Kami telah berjanji untuk pulang ke asrama pada hari yang sama, memandangkan kami juga sebilik. Dia tinggal di daerah yang berbeza dariku meskipun di negeri yang sama. Setibanya aku ke asrama, aku menerima sebuah mesej dari seorang sahabat kami, Nisa. “Nor Hayati mengalami kemalangan dan sedang dirawat di hospital” aku mengerutkan dahiku. “Tak mungkin, baru sahaja tadi kami berbalas sms. Mungkin salah maklumat ni,” aku bermonolog sendiri. Aku terus melangkah ke bilikku dengan selamba. Tiba di bilikku,aku menerima panggilan daripada Nisa. “Kat mana sekarang?”soalnya.”Kat bilik…”jawabku. “Jom pergi hospital sekarang…kami tunggu kat bawah ni”. Aku hanya menurut katanya meskipun dihatiku masih tertanya-tanya kebenaran berita itu. 
Tiba di hospital, kami terus menuju wad perempuan. Aku terlihat beberapa orang sahabat-sahabat kami terpacak di situ. Aku memandang pesakit di katil itu. Yati! Aku hampir tidak percaya dengan apa yang kulihat. Dia tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan. Aku cuma terpacak memandangnya, sedangkan sahabat yang lain sudah pun menuju ke sisi katilnya. Aku tidak mampu menafsirkan perasaanku ketika itu. Tiada air mata yang mahu berderai, tiada senyuman yang mampu terukir, cuma hatiku masih berkata-kata sendiri. “Mimpikah aku? Kalau aku sedang bermimpi, tolong sedarkan aku. Aku tidak inginkan mimpi seperti ini…”kata-kata itu cuma bersuara di hati. Sesedar dari lamunanku, mereka mengajakku pulang ke asrama kerana waktu melawat telah tamat. Aku hanya menurut tanpa sebarang kata bagaikan dirasuk. Malam itu, aku bersolat hajat agar dia sembuh seperti sediakala. Usai solat, aku jadi lebih tenang sedikit. Aku yakinkan hatiku, dia pasti kembali seperti dulu.
Sesedarku ada panggilan yang masuk. “Hello, jom turun kat bilik Alya. Kami semua tunggu..”kata Nisa dihujung talian. Aku memandang jam pada telefon bimbitku. Angka 3: 00 terpapar pada skrin. Aku mengerutkan dahiku. Hatiku mula merasa tidak enak, tetapi tidak berani memikirkan kemungkinannya. Aku turun ke bawah dengan perasaan berbaur. Seketika aku membuka pintu bilik Alya, wajah tiga sahabatku memberitahuku sebuah berita tanpa sepatah kata. Namun, aku masih diam. Masih mahu mendengar sendiri patah kata mereka, meskipun aku bagaikan terasa ingin rebah. “Maya, Yati…”belum sempat ayat itu dihabiskan, air mataku sudah berjuraian. Empangan air mata yang kubina sejak tadi, sudah tidak mampu menahan tekanan perasaan yang ada. Zahra mendekat lalu memelukku. Nisa dan Alya sudah tertunduk menahan tangis sendiri.
*             *             *             *             *
               
          Meskipun sedih itu masih ada dan kesunyian itu masih terasa, aku tahu itu yang terbaik buatnya. Bukan tidak ada sahabat lain yang baik, cuma dia sahabat yang terbaik. Aku pasti bukan aku sahaja yang mengakuinya, bahkan juga sahabat-sahabatku yang lain. Sesungguhnya orang yang baik itu bila tiada dirindui, bila pergi ditangisi.  Namun, kehilangan itu memberi banyak sekali pengertian buatku. Ukhuwwah itu bukan hanya pada pertemuan, bukan pula hanya pada bual mesra atau gurau senda. Bahkan ukhuwwah itu harus ada pada doa tika berjauhan, pada nasihat tika kekhilafan, pada membangkitkan tika kejatuhan, dan pada sangkaan baik tanpa kecurigaan. Kerana jika ukhuwwah itu keranaNya, maka tidak harus ada penghalangnya meskipun ada jarak menjadi pemisahnya … 
    

Ketika Cinta Memanggil



Dia menangis lagi untuk kesekian kalinya. Sungguh dia tidak pernah menyangka perkara itu akan terjadi. Lelaki yang ditunggunya selama lima tahun dengan setianya sanggup meninggalkannya begitu sahaja. Dia tertanya-tanya dimana salahnya. Sudah puas dia meminta maaf meskipun tidak tahu dimana silapnya, tidak rela melepaskan lelaki itu pergi. Dulu dia pernah melepaskan lelaki itu kerana dia tahu waktu itu usia terlalu muda dan perjalanan mereka masih jauh. Namun begitu, dia setia menunggu lelaki itu selama lima tahun atas janji setia mereka. Tiada lelaki lain dihatinya, tiada yang lain dipandangannya. Bukan tidak ada lelaki lain yang mahu mendekati, cuma dia sahaja yang tidak sudi. Setelah lima tahun, lelaki itu hadir lagi dalam hidupnya membawa cinta. Betapa bahagianya dia menyambut kehadiran itu, mengharap impian cintanya berakhir dengan kebahagiaan. Bahkan dia masih ingat bila lelaki itu mengakui pernah menduakannya dalam lima tahun itu; namun kerana sayangnya, dia memaafkan khilaf itu. Bukan dia ingin mengungkit, cuma tertanya-tanya besar sungguhkah salahnya sehingga tiada peluang kedua untuknya? Jauh lebih besarkah daripada khilaf menduakan yang pernah dilakukan lelaki itu? Hanya air mata yang mampu mengumbarkan segala persoalan dihatinya. Tiada kata-kata yang mampu diucapkan dari bibirnya tika ini.

Seketika dia membuka matanya, masih ada air mata yang bersisa dipelupuknya. Dia memandang jam di sisinya, masih belum masuk waktu subuh lagi. Dia bangun menuju ke bilik air untuk berwudhu’. Usai solat sunat, dia duduk di atas sejadahnya. Air mata mengalir lagi dan kali ini lebih laju. Seingatnya, sudah lama dia tidak bertahajjud begini. Setiap malamnya dia tidur lewat kerana asyik bertelefon dengan lelaki itu. Setiap solatnya menjadi ringkas kerana bergegas untuk membalas sms lelaki itu. Alquran di tangannya sudah lama tidak ditatapnya. Air matanya masih belum mahu berhenti mengalir. Di sebalik kesedihan itu, ada sebuah perasaan tenang yang menyerbu benaknya. Ketenangan yang sukar digambarkan. Benar kataNya:”…hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang”(ArRa’d: 28). Sudah terlalu lama dia menjauh dariNya. Kerana cinta manusia, dia lupa cintaNya. Cinta kekasih agung yang tidak pernah hilang meskipun kita lalai, yang tidak pernah pergi meski kita lari, dan yang tidak pernah padam meski kita abaikan. Sesekali tangannya menyapu air mata yang masih mengalir tiada henti. Benar kata-kata yang pernah didengarnya, ketika satu pintu kebahagiaan ditutup ada pintu kebahagiaan lain yang terbuka, cuma manusia selalunya memandang pintu yang tertutup itu terlalu lama sehinggakan tidak nampak pintu lain yang terbuka.  Di saat dia kehilangan cinta manusia, dia dapat kembali nikmat cintaNya. Barangkali Allah mengambil orang yang kita sayang dari sisi kita kerana tidak mahu kasih kita terkurang buatNya. Sejenak itu senyumannya terkuntum. Terima kasih Allah, atas kasihMu yang tiada henti untukku. Terima kasih kerana memanggil aku kembali ke sisi cintaMu setelah jauhnya aku kelana. Aku tidak mahu jauh dariMu lagi ya Allah, desis hatinya.
*                               *                                      *                                       *                                 *

Petang itu, dia ke bandar untuk membeli beberapa keperluan sambil ‘mencuci mata’ di kompleks membeli-belah bersama sahabatnya. Setelah beberapa bulan sibuk bekerja, masa luang begini tidak disia-siakannya. “Ain!” Dia memandang sekelilingnya, mencari sang pemilik suara. Tiba-tiba dia terlihat seseorang  tidak jauh darinya.  “Apa khabar? Sudah lama saya cari Ain…” lelaki itu bersuara. “Kenapa cari saya?”soalnya tenang. “Nurul Ain, maafkan saya…Saya menyesal atas semua yang saya lakukan pada Ain. Saya sedar saya tak akan jumpa perempuan yang lebih baik untuk saya selain awak” suara lelaki itu kedengaran sedikit bergetar. “Saya sudah lama maafkan awak…saya harap awak pun maafkan semua kesalahan saya pada awak” katanya dengan suara sedikit bergetar, mengenang dosa silamnya melalaikan seorang lelaki. Lelaki itu mengangkat wajahnya memandang Ain, “sudikah awak menerima saya lagi?” Ain tahu hari seperti ini akan tiba suatu hari nanti, hari dimana lelaki itu menyesali kesilapannya. Cuma dia tidak menyangka bahawa hari itu adalah hari ini. “Tapi awak silap, hanya Dia sahaja yang menentukan siapa yang lebih baik untuk kita, bukan diri kita sendiri. Bila Allah ambil sesuatu yang kita sayang, sebenarnya Dia nak berikan kita sesuatu yang lebih baik,” katanya lembut. Lalu dia menghulurkan sesuatu kepada lelaki itu sebelum berlalu.

Lebih kurang dua minggu lagi dia akan melangsungkan perkahwinannya bersama seorang lelaki. Seorang lelaki yang dia tahu mampu membawanya kepada cintaNya. Seorang lelaki yang mahu menjadikannya seorang isteri, bukan teman wanita. Seorang lelaki yang menemui ibu bapanya untuk menyuntingnya, bukan menemui dia untuk mengemis cintanya. Seorang lelaki yang mengajaknya bernikah, bukan bercinta. Sesungguhnya kita merancang, Tuhan juga merancang; tetapi Dialah sebaik-baik perancang. Sesungguhnya Allah telah memberikan ganti kepadanya seseorang yang jauh lebih baik. Seseorang yang tidak pernah dibayangkannya. Segala puji buatMu diatas segala nikmat yang terhingga. Sesungguhnya bahagia itu dariNya, dan hanya dengan redhaNya bahagia itu bersama kita... :) 


Let me go...



Life is not called a life if we are happy all the times. Thus, life is synonym to the wheel, where the good and bad turn over and over till the day it stopped. Sometimes when the bad comes in our life, we forgot how we have face the countless bad times and still manage to go on. Instead, we feels like we would never overcome the problem in which after sometimes we realize the problem isn’t as bad as we think of. The important thing in facing the difficulties in life was actually our perception. The perception can change how we act against the problems we face. If we think the problem is big, then the things become harder for us. Instead, if we think the problem as a small matter, it would eventually become easier.   
  
Difficulties sometimes give us the value of something. The harder for us to reach them, the more valuable it is to us. Although, there a things in life that we should let go. Let go does not mean that you are letting away someone or something, rather it symbolize that you are giving yourself a chance for a better person or options. Some people come in our life just to teach us a lesson in life, some people come to give us the precious time, while some people come for a lifetime. The reason why some people can’t be happy is that they think the past is better than it really was.  

There a things in life we want to hold on, but have to let go; things we want to let go, but have to go on; and the things we never dream of, but came by. But there is one thing we should never forget: EVERYTHING HAPPENS FOR A REASON. So, when the bad time comes just remember you have face so many difficulties before, this is just another one. When you have to let go, just remember, you have given a chance to get the better one.  Never forget to smile  and stay positive in good and bad times, because we know He always give us the best. Let go of yourself. Fighting!

 

Terima Kasih Cinta...


Bila menyebut tentang cinta, siapakah yang berada diminda anda? Mungkinkah ibu bapa? Atau jejaka/gadis idaman? Jawapannya anda sendiri lebih tahu… Akan tetapi pernahkah anda terfikir  tentang sebuah cinta agung dari kekasih sejati itu? Tentang Dia yang tidak pernah meninggalkan, meskipun sering ditinggalkan dan dilupakan berkali-kali… Siapakah kekasih sejati itu? Hanya satu : Allah yang Esa… Dia yang tidak pernah meninggalkan kita meskipun kita sering melupakanNya. Dia yang selalu menerima kita selepas kita meninggalkanNya berulang kali. Dia yang sering memaafkan kita setelah berkali-kali kita mengulangi kesilapan. Adakah lagi kekasih yang lebih baik dariNya? Jawapannya pasti takkan ada yang lebih baik dariNya… Adakah kita sudah menjadi kekasih yang baik pula untukNya? Tepuk dada tanya iman kita…

Seringkali bila ujian menerpa, saat itulah baru kita kembali padaNya…Seringkali tika kita merasa sendirian dan orang sekeliling kita meninggalkan kita, saat itulah baru kita sedari bahawa Dialah yang paling setia bersama kita… Bahkan, pernahkah kita terfikir bahawa kadangkala Dia menimpakan ujian buat kita kerana Dia mahu kita kembali kepadaNya? Dan kadangkala Dia memisahkan kita dari orang yang kita cintai dan sayangi kerana Dia rindukan kita dan mahu kita untuk kembali mencintaiNya lebih dari insan-insan itu… Sesungguhnya ujian itu tanda kasih dan rinduNya buat kita… Kerana seringkali manusia itu lupa dan ujianlah yang menyedarkan dan mengingatkannya… Usahlah kita lupa tentang kisah cinta kekasih sejati itu lagi… Semoga kita semua menjadi hambaNya yang baik dan lebih baik dari sebelumnya,amin...

video


Kerana Kau Istimewa


“Setiap yang berlaku ada hikmahnya”

Ayat yang biasa kita dengar dan selalu diucapkan…tapi benarkah dihayati? Saya kira semua tahu makna ayat tersebut. Namun kadang-kadang bila musibah melanda kita, kita seakan tidak pernah mendengar ayat ini. Bila ada yang cuba menenangkan dengan kata-kata nasihat, kadangkala terngiang-ngiang kata-kata “awak tak faham keadaan saya” di dalam otak kita. Ya, memang tidak semua orang berada dalam situasi yang kita alami dan mungkin tidak semua orang mengerti apa yang kita rasa. Begitupun, tidak mustahil ada orang di luar sana mengalami situasi yang sama dan ada mereka yang merasakan apa yang sedang kita rasakan. Bahkan adalah sangat mungkin ada mereka-mereka yang menghadapi masalah yang jauh lebih besar daripada kita.

Pernahkah anda terfikirkan tentang kisah hidup seekor tiram? Seekor tiram harus menahan tajamnya pasir-pasir yang menusuk ke tubuhnya selama bertahun-tahun sebelum tiram itu akhirnya menghasilkan sebuah mutiara. Ya, MUTIARA TERHASIL SELEPAS KESAKITAN BEBERAPA LAMA. Allah membiarkannya kesakitan beberapa lama sebelum menjadikannya tiram yang istimewa dengan adanya mutiara padanya. Maka tidak mustahil kesakitan, penderitaan dan segala kesusahan yang kita hadapi sekarang akan menghasilkan kegembiraan buat kita suatu hari nanti. Bukan saja-saja Dia membiarkan kesakitan dan kesusahan kepada kita melainkan kerana telah Dia sediakan hadiah yang lebih baik untuk kita.

Sewaktu peperiksaan, bukankah guru-guru membiarkan kita terkontang-kanting menjawab soalan tanpa dibantunya? Namun, bila kita berusaha menempuhinya kita diberi ganjaran dengan gelaran pelajar cemerlang. Lupakah anda? Allah tidak sesekali mensia-siakan hambaNya. TAKKAN. Tika kesusahan hidup di dunia menghimpit dan anda terasa sakit, ingatlah HIDUP INI CUMA SEMENTARA. Lebih baik susah di dunia yang sementara daripada kesusahan di akhirat sana. Kesenangan di dunia tidak menjamin kesenangan kita di sana. Malah, takut-takut kesenangan dunia membuat kita lupa kepada kehidupan kekal di sana. Oleh itu, marilah kita jalani hidup di dunia ini sebaik-baiknya sebagai hambaNya meskipun payah. Usahlah kita lupa bahawa tujuan hidup di dunia ini adalah beribadah kepadanNya. Bukankah Dia telah berfirman:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat: 51)

Yakinlah pasti ada bahagia untuk anda, tidak sekarang pasti suatu hari nanti….Tidak di dunia, pasti di sana…Selagi kita yakin rahmatNya… selagi kita berusaha menjadi hambaNya sebaiknya… Selagi kita yakin bahawa kesusahan yang kita hadapi saat ini bukanlah hukuman buat kita, bahkan tanda kasihNya… Tidak mahukah anda menjadi hambaNya yang istimewa sebagaimana istimewanya tiram dengan mutiara? Marilah kita bersama menjadi hambaNya yang baik bukan sahaja kerana Dia Tuhan kita tetapi kerana kasihNya buat kita yang tidak pernah putus…JANGAN BERSEDIH KERANA DIA TIDAK PERNAH MENINGGALKANMU!