Terima Kasih Cinta...


Bila menyebut tentang cinta, siapakah yang berada diminda anda? Mungkinkah ibu bapa? Atau jejaka/gadis idaman? Jawapannya anda sendiri lebih tahu… Akan tetapi pernahkah anda terfikir  tentang sebuah cinta agung dari kekasih sejati itu? Tentang Dia yang tidak pernah meninggalkan, meskipun sering ditinggalkan dan dilupakan berkali-kali… Siapakah kekasih sejati itu? Hanya satu : Allah yang Esa… Dia yang tidak pernah meninggalkan kita meskipun kita sering melupakanNya. Dia yang selalu menerima kita selepas kita meninggalkanNya berulang kali. Dia yang sering memaafkan kita setelah berkali-kali kita mengulangi kesilapan. Adakah lagi kekasih yang lebih baik dariNya? Jawapannya pasti takkan ada yang lebih baik dariNya… Adakah kita sudah menjadi kekasih yang baik pula untukNya? Tepuk dada tanya iman kita…

Seringkali bila ujian menerpa, saat itulah baru kita kembali padaNya…Seringkali tika kita merasa sendirian dan orang sekeliling kita meninggalkan kita, saat itulah baru kita sedari bahawa Dialah yang paling setia bersama kita… Bahkan, pernahkah kita terfikir bahawa kadangkala Dia menimpakan ujian buat kita kerana Dia mahu kita kembali kepadaNya? Dan kadangkala Dia memisahkan kita dari orang yang kita cintai dan sayangi kerana Dia rindukan kita dan mahu kita untuk kembali mencintaiNya lebih dari insan-insan itu… Sesungguhnya ujian itu tanda kasih dan rinduNya buat kita… Kerana seringkali manusia itu lupa dan ujianlah yang menyedarkan dan mengingatkannya… Usahlah kita lupa tentang kisah cinta kekasih sejati itu lagi… Semoga kita semua menjadi hambaNya yang baik dan lebih baik dari sebelumnya,amin...

video


Kerana Kau Istimewa


“Setiap yang berlaku ada hikmahnya”

Ayat yang biasa kita dengar dan selalu diucapkan…tapi benarkah dihayati? Saya kira semua tahu makna ayat tersebut. Namun kadang-kadang bila musibah melanda kita, kita seakan tidak pernah mendengar ayat ini. Bila ada yang cuba menenangkan dengan kata-kata nasihat, kadangkala terngiang-ngiang kata-kata “awak tak faham keadaan saya” di dalam otak kita. Ya, memang tidak semua orang berada dalam situasi yang kita alami dan mungkin tidak semua orang mengerti apa yang kita rasa. Begitupun, tidak mustahil ada orang di luar sana mengalami situasi yang sama dan ada mereka yang merasakan apa yang sedang kita rasakan. Bahkan adalah sangat mungkin ada mereka-mereka yang menghadapi masalah yang jauh lebih besar daripada kita.

Pernahkah anda terfikirkan tentang kisah hidup seekor tiram? Seekor tiram harus menahan tajamnya pasir-pasir yang menusuk ke tubuhnya selama bertahun-tahun sebelum tiram itu akhirnya menghasilkan sebuah mutiara. Ya, MUTIARA TERHASIL SELEPAS KESAKITAN BEBERAPA LAMA. Allah membiarkannya kesakitan beberapa lama sebelum menjadikannya tiram yang istimewa dengan adanya mutiara padanya. Maka tidak mustahil kesakitan, penderitaan dan segala kesusahan yang kita hadapi sekarang akan menghasilkan kegembiraan buat kita suatu hari nanti. Bukan saja-saja Dia membiarkan kesakitan dan kesusahan kepada kita melainkan kerana telah Dia sediakan hadiah yang lebih baik untuk kita.

Sewaktu peperiksaan, bukankah guru-guru membiarkan kita terkontang-kanting menjawab soalan tanpa dibantunya? Namun, bila kita berusaha menempuhinya kita diberi ganjaran dengan gelaran pelajar cemerlang. Lupakah anda? Allah tidak sesekali mensia-siakan hambaNya. TAKKAN. Tika kesusahan hidup di dunia menghimpit dan anda terasa sakit, ingatlah HIDUP INI CUMA SEMENTARA. Lebih baik susah di dunia yang sementara daripada kesusahan di akhirat sana. Kesenangan di dunia tidak menjamin kesenangan kita di sana. Malah, takut-takut kesenangan dunia membuat kita lupa kepada kehidupan kekal di sana. Oleh itu, marilah kita jalani hidup di dunia ini sebaik-baiknya sebagai hambaNya meskipun payah. Usahlah kita lupa bahawa tujuan hidup di dunia ini adalah beribadah kepadanNya. Bukankah Dia telah berfirman:
“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Adz-Zariyat: 51)

Yakinlah pasti ada bahagia untuk anda, tidak sekarang pasti suatu hari nanti….Tidak di dunia, pasti di sana…Selagi kita yakin rahmatNya… selagi kita berusaha menjadi hambaNya sebaiknya… Selagi kita yakin bahawa kesusahan yang kita hadapi saat ini bukanlah hukuman buat kita, bahkan tanda kasihNya… Tidak mahukah anda menjadi hambaNya yang istimewa sebagaimana istimewanya tiram dengan mutiara? Marilah kita bersama menjadi hambaNya yang baik bukan sahaja kerana Dia Tuhan kita tetapi kerana kasihNya buat kita yang tidak pernah putus…JANGAN BERSEDIH KERANA DIA TIDAK PERNAH MENINGGALKANMU!