Setiakah dikau...?



                Kesetiaan seringkali dikaitkan dengan perhubungan cinta dan persahabatan. Memang tidak dinafikan, kesetiaan merupakan elemen penting dalam kedua-dua perhubungan ini. Tanpa kesetiaan percintaan dan persahabatan tidak akan ke mana. Tetapi pastikah semua dari kita benar-benar tahu apa itu makna kesetiaan? Barangkali kita boleh mempelajari makna kesetiaan daripada kisah seekor anjing. 

Suatu ketika dulu, seekor anjing meredah dingin pagi mengekori langkah tuannya menuju ke stesen keretapi. Hari itu tuannya bertolak ke luar kota atas urusan penting. Sebelum melangkah naik ke dalam perut kereta api, tuannnya sempat membelai-belainya sambil anjing tersebut menjilat-jilat tangan tuannya. Keesokannya, anjing tersebut meredah kedinginan pagi sekali lagi menuju ke stesen kereta api untuk menyambut kepulangan tuannya. Setibanya kereta api, anjing tersebut mencari-cari wajah tuannya dicelah-celah penumpang yang ramai. Beberapa lama mencari, wajah yang dicari tidak ditemuinya. Anjing tersebut pulang kehampaan. Esoknya, anjing tersebut sekali lagi meredah dinginnya pagi menuju ke stesen kereta api bagi menyambut tuannya. Bagaimanapun, sekali lagi anjing tersebut hampa. Begitulah juga hari-hari berikutnya sehingga anjing tersebut menghembuskan nafasnya yang terakhir di stesen kereta api tersebut, namun tuannya tetap tidak kunjung tiba. Sebenarnya tuannya telah menghembuskan nafas terakhir di luar kota akibat serangan jantung dan dikebumikan di situ...

Setianya seekor anjing kepada tuannya, kerana dia tahu dia lebih beruntung diambil tuannya. Diberikannya tempat tinggal dan makanan setiap hari. Setianya seekor anjing, tetap bersungguh berkhidmat kepada tuannya menjaga rumah daripada bahaya meskipun anjing itu cuma diberi makan dua kali sehari dan tinggal di luar rumah yang kadangkala panas dan kadangkala kedinginan. Namun, malangnya kita manusia yang Allah berikan tempat tinggal yang melindungi kita dari hujan dan panas serta makanan yang begitu banyak tidak sesetia itu kepada Tuhan kita. Amanah yang diberikanNya kepada kita, tidak pula dilakukan dengan baik tetapi amanah manusia lebih dipentingkan. Banyak sekali dari kita yang datang ke pejabat pada awal waktu, tetapi sedikit sekali dari kita solat pada awal waktu. Berapa banyak ibu bapa yang melakukan tugas kerjaya dengan bersungguh-sungguh, tetapi sedikit sekali yang menjaga tanggungjawab sebagai ibu bapa yang dikurniakanNya.

Begitu juga dengan remaja masakini, ramai sekali yang setia kepada kekasih tidak halalnya sehingga sanggup berkorban segala-gala, namun sedikit sekali yang berkorban nafsu remajanya demi Kekasih Abadi. Berapa ramai yang menjadi hamba fesyen, malangnya sedikit sekali yang menyahut suruhanNya menutup aurat. Berapa ramai yang membuang masa ke sana sini bersama kekasih tidak halalnya, tetapi sedikit sekali yang mengisi masa dengan mencari ilmuNya. Nauzubillah… Ayuhlah kita semua menjadi hamba yang setia kepada Sang Pemiliknya. Kerana kita ini miliknya. DariNya kita datang, kepadaNya kita kembali… Dan bahawasanya dunia fana ini cumalah sementara…..
"Aku belajar tentang taqwa melalui kesetiaan seekor anjing terhadap tuannya"(Saidina Ali)

 

2 comments:

Azila Awang said...

Tersentuh baca kesetiaan anjing pada tuan dia :)

nurhabibi said...

setia seekor anjing kepada tuannya kadangkala lebih baik daripada kesetiaan kebanyakan insan kepada Tuhannya...:')